Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (3:185)
14 October 2010
ORGANISASI ISLAM:PIRAMID YANG KUKUH ATAU KHEMAH YANG RAPUH???
Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berperang di jalan Allah dalam barisan yang teratur seumpama bangunan yang kukuh.” (Surah As-Shaf: 4)
Ayat di atas menjelaskan sifat organisasi Islam yang bekerja untuk menegakkan Islam sebagai ad-din (cara hidup). Sifat yang dijelaskan oleh Allah ialah "dalam barisan yang teratur rapi seumpama bangunan yang kukuh". Mereka yang menganggotai organisasi seperti ini dicintai Allah. Oleh demikian anda perlu berfikir secara insaf adakah anda termasuk dalam golongan yang dicintai Allah atau sebaliknya. Adakah anda menjadi anggota sebuah organisasi yang tersusun rapi?
Bangunan yang kukuh
Mengapakah Allah mencintai barisan yang tersusun rapi seumpama bangunan yang kukuh? Anda tentu memahami bahawa sebuah bangunan yang kukuh sahaja dapat memenuhi fungsinya dengan sempurna. Bangunan yang kukuh sahaja dapat menampung segala isi di dalamnya tanpa mengalami retak atau runtuh. Isi di dalam bangunan sama ada manusia, perabot, peralatan dan lain-lain kadangkala berubah. Tanpa kekukuhan yang sewajarnya, sesebuah bangunan tidak akan dapat memikul beban yang berubah ini. Selain itu, sesebuah bangunan juga terdedah kepada angin kencang, hujan lebat dan mungkin gempa bumi. Sekali lagi, semua unsur cuaca dan alam ini perlu dihadapi sesebuah bangunan dengan kekukuhan yang sewajarnya. Jika tidak, bangunan tersebut mungkin mengalami gegaran, retak atau runtuh.
Bagaimana pula dengan sebuah organisasi Islam anda? Organisasi Islam merupakan tempat untuk anda melaksanakan pelbagai aktiviti Islam. Ia merupakan tempat merancang, melaksana dan mengawasi aktiviti-aktiviti dakwah, tarbiyah dan siasah. Oleh demikian, organisasi tersebut perlu mempunyai struktur yang memungkinkan semua aktiviti yang dihajati dapat dilaksanakan. Ini bermakna, bukan sahaja struktur perlu dirangka dengan sebaik-baiknya, malah struktur itu perlu diisi dengan angota yang mampu menangani peranan yang ditentukan. Hanya dengan struktur yang sesuai dan anggota yang berkemampuan sahaja sesebuah organisasi dapat memenuhi fungsinya. Jika tidak, organisasi mungkin wujud tetapi aktiviti tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Setelah menyentuh soal organisasi, cuba lihat pula anggota yang mengisi organisasi. Untuk lebih memahami aspek ini, anda perlu mengaitkan individu dengan aktiviti yang ingin dilaksanakan dalam sesebuah organisasi. Aspek utama yang membezakan aktiviti Islam dengan aktiviti lain ialah matlamat akhir yang ingin dicapai melalui aktiviti berkenaan. Dalam aktiviti atau amal Islam, matlamat akhir yang ingin dicapai ialah keredaan Allah. Matlamat ini hanya diketahui apabila anda bertemu dengan Allah di akhirat nanti. Oleh demikian, setiap anggota perlu meletakkan matlamat akhir ini sebagai dasar penyertaannya dalam organisasi dan pelaksanaan aktiviti. Matlamat ini perlu dibina dan disuburkan dalam hati anda secara berterusan. Tanpa matlamat ini, segala aktiviti tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana anda tidak mempunyai motivasi dalam bentuk kebendaan. Malah, aktiviti yang ingin dilaksanakan tidak menjanjikan ganjaran kewangan atau kebendaan.
Matlamat akhir
Berdasarkan kepada matlamat akhir ini, anda mengharapkan setiap anggota organisasi akan berperanan dan melaksanakan tanggungjawab memperku-kuhkan organisasi. Memang ada peranan dan tangungjawab yang dikhususkan untuk anggota tertentu. Namun demikian, banyak lagi peranan dan tanggungjawab yang boleh dilaksanakan oleh setiap anggota. Umpamanya menyebarkan kefahaman dan kesedaran Islam. Peranan ini mungkin dapat dilaksanakan dengan berbagai-bagai cara seperti hubungan individu atau menyertai aktiviti Islam yang ada di sekeliling anda. Peranan ini sangat besar kesannya terhadap Islam. Setiap anggota juga boleh meneruskan usaha menyebarkan kefahaman tadi dengan membentuk individu yang menerima seruan Islam, sekiranya berkemampuan. Ini adalah contoh usaha yang sepatutnya dicari dan dilaksanakan oleh anggota organisasi yang berkemampuan. Peranan ini tidak mungkin dapat diberi atau disogok seperti peranan dalam pentadbiran pejabat. Sebaliknya ia perlu dicari dan memerlukan inisiatif serta kreativiti sendiri.
Matlamat di atas juga perlu menjadi dasar bagi pelaksanaan aktiviti organisasi secara menyeluruh. Apabila setiap anggota jelas mengenai matlamat akhirnya, barulah aktiviti organisasi dapat disempurnakan dengan sepenuh hati, bukan secara terpaksa. Pelaksanaan secara sepenuh hati bermakna dilaksanakan dengan penuh minat, tumpuan dan rasa gembira. Inilah yang akan menentukan sama ada sesuatu aktiviti itu dilaksanakan dengan cemerlang atau ala kadar sahaja. Oleh itu, setiap angota organisasi perlu menyedari kepentingan memiliki matlamat akhir yang jelas dan berusaha memupuknya dalam hati mereka.
Piramid atau khemah?
Persoalannya adakah anda telah berpuas hati dengan organisasi yang anda anggotai? Adakah struktur yang ada merupakan struktur piramid yang kukuh dan tahan uji? Atau struktur yang ada hanyalah struktur khemah yang sementara dan rapuh? Mudah-mudahan anda tidak mudah tertipu dengan struktur berbentuk piramid tetapi hakikatnya bukan piramid. Untuk membina sebuah piramid, anda memerlukan batu-batu pejal yang besar dan logistik yang sangat canggih. Piramid yang sebenarnya telah dibina dengan usaha yang sangat besar dan perbelanjaan yang sangat mahal. Piramid yang sebenarnya adalah kukuh dan dapat menghadapi apa sahaja bentuk cuaca di sekelilingnya. Hujan ribut atau puting beliung sekalipun tidak menjejaskan piramid. Oleh itu, tidak hairanlah jikalau piramid dapat bertahan sehingga berabad-abad lamanya.
Sebaliknya hari ini anda lebih mudah membina khemah. Khemah merupakan binaan sementara yang terlalu lemah dan mudah runtuh. Namun demikian, khemah adalah sesuai untuk tujuan perkelahan atau penginapan sementara. Ia mudah dibina dan mudah dibuka. Oleh kerana strukturnya yang kecil dan ringan, khemah mungkin tumbang atau terbang apabila ditiup angin kencang. Ini bermakna khemah tidak dapat bertahan untuk satu jangka masa yang lama. Itulah hakikat khemah yang rapuh walaupun bentuknya seperti piramid yang kukuh.
Oleh demikian, cubalah nilai diri sendiri, sama ada organisasi anda merupakan sebuah piramid yang kukuh ataupun khemah yang rapuh. Dan apakah sumbangan anda untuk memperkukuhkan organisasi tersebut?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment